媒体

COVID-19
25/6/21
Isu
Selangor
Negara

Berita Harian: Masjid, surau disaran sebar maklumat sahih mengenai vaksin

SHAH ALAM: Semua masjid dan surau di negeri ini diminta terus menyebarkan maklumat sahih mengenai kepentingan pengambilan vaksin dalam usaha membantu kerajaan membentuk imuniti kelompok di seluruh negara.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata MAIS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memperkasa fungsi ahli jawatankuasa masjid dan surau di Selangor untuk membantu meningkatkan tahap kesedaran pendaftaran vaksin dalam kalangan ahli kariah.

Katanya, MAIS melihat fungsi masjid dan surau ini bukan sahaja sebagai tempat beribadah tetapi perlu ditingkatkan sebagai pusat rujukan utama oleh ahli kariah masjid atau surau berkenaan.

"Ini termasuk masjid dan surau sebagai pusat informasi dan penyebaran maklumat yang sahih kepada masyarakat sekitar mengenai kepentingan mengambil vaksin COVID-19.

"Ketika ini, walaupun kegiatan bersemuka di masjid atau surau terhad, aktiviti dalam talian boleh dilaksanakan secara meluas seperti bacaan al-Quran, ceramah dan tazkirah bersama ahli kariah, termasuk perkongsian dan saranan berkaitan pengambilan vaksin melalui dalam talian.

"MAIS berharap dengan adanya pendekatan ini, sedikit sebanyak boleh menimbulkan kefahaman kepada ahli kariah yang tinggal berdekatan masjid atau surau berkaitan kepentingan mengambil vaksin COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, saranan MAIS itu juga berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember tahun lalu.

"Ia juga berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2021 yang bersidang pada 9 Februari lalu yang mengambil ketetapan bahawa Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"MAIS berpandangan, keputusan itu sangat diberikan penekanan dalam Islam iaitu hifzu al-nafs atau memelihara nyawa, malah umat Islam disyariatkan memelihara nyawa dan mengharamkan perbuatan yang akan menyebabkan nyawa terancam serta berada dalam kebinasaan.

"Keputusan ini juga selari dengan dalil firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195, bermaksud: Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
立即注册,将最新信息直接发送到您的电子邮件
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.