Media

Terkini
27/1/22
Selangor

Berita Harian: PKNS bakal perkenal 12 projek baharu tahun ini

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merancang untuk melancarkan 12 projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM690 juta tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Abbas, berkata empat projek akan dilancarkan di Kota Puteri, Batu Arang; Bernam Jaya (tiga); Shah Alam (dua) dan masing-masing satu di Bangi, Antara Gapi dan Selangor Cyber Valley.

Katanya, dua projek adalah jenis apartmen iaitu di Shah Alam dan Bangi manakala selebihnya adalah kediaman bertanah.

"Harga jualan pula akan bermula daripada RM400,000 seunit untuk projek apartmen manakala untuk projek bertanah akan bermula dari RM550,000 seunit untuk unit tengah.

"Projek ini akan mengambil masa di antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan," katanya sambil menambah PKNS menyasar jualan RM584 juta membabitkan hartanah kediaman untuk tahun ini.

Beliau berkata demikian pada taklimat media tinjauan perniagaan PKNS di sini, hari ini.

Mengenai kenaikan harga bahan binaan, Mahmud berkata ia sememangnya memberi kesan kepada kumpulan itu dan pihaknya terpaksa menaikkan sedikit harga jualan hartanah pada tahun ini.

"Berlaku kenaikan harga bahan binaan sehingga 15 peratus setakat ini. Kami memutuskan untuk menyerap separuh daripadanya manakala selebihnya kami terpaksa pindahkan dengan menaikkan harga rumah.

"Ini akan menyebabkan harga rumah kami terpaksa dinaikkan sekitar tujuh peratus kesan daripada kenaikan harga bahan binaan ini," katanya.

Setakat 21 Januari 2022, PKNS mempunyai 2,416.8 hektar simpanan tanah dengan 43 peratus adalah masing-masing tanah komersial dan pembangunan bercampur dan kediaman (13 peratus).

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, PKNS menjual 1,553 unit rumah dan merekodkan RM905 juta jualan merangkumi hartanah kediaman, komersial dan perindustrian.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.