Inisiatif

Terkini
23/5/22
Selangor
Bantuan

Selangor Kini: Selangor Saring bantu individu sihat, aktif kesan penyakit kronik lebih awal

KUALA SELANGOR, 22 MEI: Program pemeriksaan kesihatan Selangor Saring yang bermula hari ini menyasarkan penyertaan individu sihat bagi mengesan sebarang penyakit kronik dalam diri mereka.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata inisiatif itu adalah langkah awal bagi membantu penduduk mendapat rawatan sekali gus memastikan kesihatan mereka di tahap terbaik.

“Mereka yang berpenyakit pasti sudah tahu tahap kesihatan masing-masing. Jadi program ini membantu masyarakat yang sihat dan aktif untuk mengesan penyakit mereka.

“Kita minta semua anggota masyarakat memanfaatkan program ini. Kita nak rakyat sedar betapa pentingnya kesihatan dan bertanggungjawab pada diri sendiri. Kita mahu cegah penyakit kronik lebih awal,” katanya selepas meninjau Selangor Saring bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok hari ini.

Turut serta mantan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Dewan Negeri Ijok Dr Idris Ahmad.

Siti Mariah berkata program berkenaan menyediakan kaunter pemeriksaan fizikal, darah, air kencing, mata, serviks, prostat dan payudara.

“Kaunter Selangor Mental Sihat (Sehat) turut dibuka untuk pendaftaran selain disediakan kaunter khas untuk peserta mendapat khidmat nasihat.

“Di DUN Ijok ini, wakil rakyatnya menambah saringan ultrasound dan pap smear bagi mengesan kanser. Bila dapat keputusan, kita akan rujuk pesakit ke hospital dan pakar untuk langkah selanjutnya,” katanya.

Sebanyak RM3.4 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program Selangor Saring yang menumpukan pengesanan penyakit seperti jantung, kencing manis, kanser dan glaukoma.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program itu dijangka memanfaatkan 39,000 rakyat Selangor terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.