Media

Peristiwa
25/5/22
Selangor
Bantuan

Selangor Kini: Selangor Saring: Lebih 100,000 kuota babit lapan jenis ujian disedia

KLANG, 24 MEI: Sebanyak 115,928 kuota disediakan melalui program saringan kesihatan percuma, Selangor Saring di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, sebanyak 31,000 kuota untuk ujian fizikal, darah dan air kencing, mata (12,400), servik dan kanser payu dara (1,680), ujian darah najis okulta atau kolorektal (5,936) manakala prostat (1,232), maklum EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata program daripada 22 Mei hingga 4 September memberi peluang kepada kira-kira 500 hingga 1,000 rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) menjalani pemeriksaan kesihatan.


“Program ini menyasarkan golongan sihat yang mungkin berisiko menghidap penyakit. Kita percaya kebanyakan mereka tidak tahu bila kali terakhir buat pemeriksaan kesihatan.

“Jadi kita mahu saring kumpulan berkenaan di peringkat awal bagi memastikan mereka tidak masuk ke kategori penyakit kronik kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat,” katanya dalam sesi taklimat program Selangor Saring dan Hi-Tea bersama Media di Hotel Wyndham Acmar di sini hari ini.

Taklimat selama hampir dua jam itu turut disertai Ahli Penasihat Kesihatan Awam Selangor Dr Mohammad Farhan Rosli.

Sementara itu, Siti Mariah berkata peserta yang selesai menjalani saringan akan memperoleh keputusan selewat-lewatnya 72 jam melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Individu yang perlu menjalani rawatan lanjut pula akan diberi tarikh dan maklumat janji temu dalam aplikasi sama,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan selangorsaring.selangkah.my, hubungi talian Selcare 1-800-22-6600 atau Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor melalui drsitimariah.com/talian-suka/.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.